Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal mara ke separuh akhir. FOTO/NSTP
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal mara ke separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas tewas dalam aksi terakhir Kumpulan B, sebentar tadi.

Selepas kembali menghidupkan peluang untuk mara ke kelompok empat terbaik hasil kemenangan ke atas beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dalam aksi kedua kumpulan, semalam, Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun gagal mengekalkan momentum itu.

Mereka terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 9-21, 18-21.

Kekalahan itu sekali gus menutup terus peluang bagi Peng Soon-Liu Ying untuk mengulangi pencapaian edisi 2013 di Kuala Lumpur dengan layak ke separuh akhir. 

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu sekurang-kurangnya perlu menang satu set dalam perlawanan menentang Watanabe-Arisa bagi membolehkan layak ke kelompok empat terbaik tetapi gagal berbuat demikian.

Peng Soon-Liu Ying, Watanabe-Arisa dan Hafiz-Gloria masing-masing menang satu perlawanan dalam peringkat kumpulan tetapi dipisahkan dengan keputusan kiraan mata.

Kekalahan beregu utama negara itu menyaksikan cabaran Malaysia di Jelajah Dunia Akhir BWF berakhir selepas rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut terkandas di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 12:44 AM