Lilian raih kejayaan kali keempat.

KUALA LUMPUR: Lilian Tan berada dalam kelas tersendiri selepas memenangi Kejohanan Bina Badan Dunia buat kali keempat di Chiang Mai, semalam.

Atlet berusia 45 tahun itu memenangi kategori 55 kilogram wanita sekali gus mengulangi pencapaian di Bangkok pada 2012, Mumbai (2014) dan Pattaya (2016).

Dia turut merangkul gelaran untuk kategori peserta 30 tahun ke atas sekali gus menjadi atlet wanita pertama yang memenangi dua trofi dalam satu edisi.

Kejayaan itu harus bermakna buat atlet kelahiran Pulau Pinang berkenaan selepas terpaksa mengumpul dana untuk bertanding disebabkan kekangan peruntukan.

Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengurangkan perbelanjaan untuk sesetengah sukan, hanya memberi peruntukan kecil untuk membolehkan Lilian bertanding.

"Ini adalah rekod kerana belum ada atlet bina badan wanita yang memenangi dua pingat emas sekali gus dalam satu kejohanan.

"Saya agak bergelut untuk mengumpul dana bagi menyertai kejohanan ini, jadi ia kejayaan paling bermakna sepanjang karier saya," kata Lilian yang juga isteri kepada bekas Juara Bina Badan Asia, Terry Gallyot.

Enam tahun lalu di Bangkok, Lilian menjadi atlet pertama dari Malaysia yang meraih gelaran juara dunia dan juri juga memberitahu bahawa dia sudah berada dalam kelas tertinggi untuk kategori wanita.

Dalam pada itu, Lilian juga ingin berterima kasih kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan peminatnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 4:04 PM