Piya dakwa KAFA gantungnya tidak bertali. FOTO fail NSTP
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi mendakwa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi layanan macam ‘sampah’ kepadanya sepanjang musim 2018.

Badhri yang lebih mesra disapa Piya menjelaskan selain digantung tidak bertali apabila disisihkan daripada pasukan, dia turut mendedahkan hanya menerima gaji terakhir pada April walaupun kontraknya sah hingga bulan lalu.

Perancang tengah yang menyumbang beberapa kejayaan ketika zaman kebangkitan The Red Warriors (TRW) pada musim 2010 hingga 2013 itu turut menegaskan kenyataannya kepada media berhubung tunggakan gaji tidak melanggar sebarang kontrak.

"Sekarang ini KAFA kata apa yang saya bagi (sumbangkan) kepada mereka, masalahnya apa yang KAFA 2018 buat pada saya? Saya dapat separuh gaji pada April dan sampai ke hari ini tak dibayar gaji.

"Kalau kata saya tak bagi apa pada KAFA, sebelum ini saya sudah sumbangkan apa yang sepatutnya, bawa balik tiga piala untuk KAFA yang lama, tapi KAFA 2018 ini buat saya macam sampah," katanya kepada sukan NSTP.

Piya disisihkan daripada pasukan Kelantan ketika skuad itu dikendalikan oleh Fajer Ebrahim pada April lalu, namun apa yang dibangkitkan ketika ini adalah mengenai tunggakan gaji pemain berusia 36 tahun itu yang difahamkan berjumlah lebih daripada RM150,000.

Sebelum ini, Piya menyuarakan kebimbangan mengenai baki tunggakan gajinya dengan KAFA kepada media selepas mendakwa terpaksa mengikat 'perut' hampir tujuh bulan menunggu pembayaran gaji daripada persatuan itu.

Namun, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan menjelaskan pihaknya sedang berunding dengan Piya tapi pada masa sama turut mendakwa bekas pemain kebangsaan itu melanggar kontrak kerana mengeluarkan kenyataan di media.

"Kontrak saya dengan KAFA sudah tamat bulan lalu, jadi saya tidak melanggar mana-mana kontrak," jelas Piya sebagai menjawab dakwaan Bibi.

"Sebelum ini pun beliau (Bibi) buat kenyataan yang jurulatih, Fajer tidak perlukan khidmat Piya dan Apek (Khairul Fahmi Che Mat), sepatutnya bincang dulu (dengan kami). Tapi panggil pun tidak, beliau hanya bagi kenyataan dalam akhbar.

"Kalau dia panggil saya tiada masalah untuk bincang. Mengenai tunggakan gaji ini saya sudah laporkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional  Malaysia (PFAM) dan harap ia akan diselesaikan dengan baik, saya cuma nak hak saya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 5:44 PM