SYARUL Azman (tengah) muncul atlet pertama dunia meraih gelaran hatrik dalam kategori fizik 167cm.
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Atlet bina badan negara terus cemerlang apabila meraih pencapaian luar biasa dengan merangkul empat pingat emas keseluruhan di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiang Mai, Thailand.

Sandaran utama, Syarul Azman Mahen Abdullah memastikan gelaran hatrik apabila merangkul gelaran Mr Universe ketiganya selepas menang kategori fizik 167cm.

Kejayan itu turut menjadikan Syarul Azman sebagaiĀ atlet pertama dunia meraih gelaran hatrik dalam kategori berkenaan.

Manakala Lilian Tan juga cemerlang apabila meraih dua emas menerusi kategori 55 kg ke atas dan masters 30 tahun ke atas.

Atlet berpengalaman dari Sarawak, Buda Anchah turut membuktikan kejaguhan apabila menyumbang emas dengan menang kategori masters 40-50 tahun selain perak bagi bawah 70kg.

"Ini satu pencapaian yang cemerlang. Sepanjang pembabitan saya selama berpuluh tahun dalam sukan ini, musim 2018 adalah yang terbaik.

"Kebiasaannya kita hanya membawa pulang satu atau dua emas namun kali ini sungguh luar biasa," kata Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir.

Terdahulu badan induk berkenaan hanya meletakkan sasaran dua emas menerusi Syarul Azman dan Lilian yang masing-masing meraih kejuaraan ketiga dan keempat di pentas dunia.

"Selepas Lilian meraih dua emas, Syarul Azman menambah kejayaan negara dengan menang kategorinya lewat malam tadi. Jadi keseluruhannya empat emas," tambahnya.

Secara keseluruhan skuad bina badan negara yang menghantar tujuh atlet membawa pulang empat emas, satu perak dan dua gangsa pada kejohanan yang berakhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:40 AM