SHUKOR (kiri) bersama Ketua Menteri merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Adly Zahari.
SHUKOR (kiri) bersama Ketua Menteri merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Adly Zahari.
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Pemain veteran berpengalaman, Shukor Adan mahu barisan baharu Melaka United (MU) musim 2019 bukan setakat ‘bermain’ bola sepak sebaliknya beraksi dengan penuh jiwa.

Baginya, barisan pemain baharu yang membarisi skuad kali ini dilihat gah di atas kertas, namun semuanya perlu diterjemah dalam permainan sebenar serta perlu konsisten.

Shukor - anak jati Melaka kembali ke negeri kelahiran selepas 20 tahun berhijrah dengan impian besar mahu merakam kejayaan bersama skuad Hang Tuah.

Keputusan itu didorong faktor keyakinan kepada kemampuan barisan kejurulatihan serta senarai pemain yang dipilih mengharungi cabaran musim depan.

MU kini diketuai jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan, Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid.

“Selepas meninggalkan Melaka begitu lama, kini saya kembali untuk menabur bakti dan mahu meningkatkan imej dan penampilan pasukan di Liga Malaysia.

“Pihak pengurusan menyasarkan kedudukan empat tangga teratas, namun secara peribadi saya mahu berada di kelompok tiga terbaik liga,” katanya.

Shukor mengakui, sebelum ini sememangnya dia sering kali ingin pulang ke Melaka, namun tiada tawaran daripada pasukan berkenaan.

Pemain berusia 39 tahun itu meninggalkan Melaka untuk menyertai banyak pasukan termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan FELDA United.

Untuk rekod, Shukor hanya sempat mewakili skuad belia dan presiden Melaka sebelum berhijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 1:40 PM