MUHAMMAD Aqil muncul juara acara 100m di AUG.
Arena HM

NAY PYI TAW, Myanmar: Muhammad Aqil Yasmin muncul jaguh pecut temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) selepas menang pingat emas acara 100 meter, hari ini.

Aqil menebus kehampaannya meraih gangsa acara 200m dua hari lalu dengan mencatat masa 10.53 saat untuk muncul juara. 

Perak menjadi milik Eko Rimbawan dari Indonesia dengan 10.59s sementara gangsa turut diraih pelari Malaysia, Jonathan Nyepa yang melakukan 10.66s.

Walaupun catatannya tidak sebaik ketika dinobatkan jaguh pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dengan masa 10.39s, Aqil yang juga pelajar UiTM, bangga dengan pencapaian itu.

“Sebenarnya saya sudah capai kemuncak sewaktu di SUKMA, untuk AUG saya cuma mengekalkan prestasi saya dan Alhamduillah saya dapat buat catatan terbaik untuk musim ini dan tak sangka menang emas” katanya.

Sementara itu hasrat Malaysia meraih gelaran jaguh pecut wanita tidak kesampaian apabila Zaidatul Husniah Zulkifli sekadar meraih perak.

Zaidatul melakukan 11.88s dan tewas kepada Pereira Shanti Veronica dari Singapura yang melakukan 11.74s. 

Gangsa menjadi milik Nguyen Thi Qanh dari Vietnam dengan masa 11.93s.

Sementara itu sukan memanah, karate, mendayung dan golf turut menyumbang emas pada hari kesembilan AUG.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 7:58 PM