SARRI beri amaran kepada anak buah supaya elak situasi merbahaya. FOTO/AFP
Agensi

BRIGHTON: Maurizio Sarri memberi amaran kepada Chelsea untuk mengelak daripada ‘membahayakan diri sendiri’ selepas berdepan situasi panik di hujung permainan ketika mengatasi Brighton 2-1, semalam.

Chelsea menguasai untuk sejam pertama aksi di Stadium Amex dengan jaringan babak pertama Pedro dan Eden Hazard meletakkan mereka di depan sebelum Solly March pada minit ke-66 menyalakan harapan Brighton semula.

Keputusan itu memisahkan Chelsea di depan Arsenal yang tewas 3-2 di Southampton – di kedudukan keempat Liga Inggeris, tetapi masih menegaskan ada beberapa bahagian yang perlu ditingkatkan.

“Saya fikir kami patutnya menang dengan selesa kerana kami beraksi baik untuk 60 minit pertama,” katanya.

“Kami melepaskan gol ketika kami sedang mendominasi permainan dan kerana kesilapan itu menyebabkan kami terpaksa bergelut dalam lima minit terakhir dengan permainan hantaran panjang mereka ke dalam kotak penalti.

“Kami bukannya pasukan yang berfizikal. Dengan pertukaran pemain, saya cuba membawa impak fizikal untuk lima minit terakhir, tetapi ia jelas sekali kami bergelut lima minit terakhir. Kami sepatutnya menang dengan mudah.

“Saya fikir apabila kami mula merasa bahawa penguasaan menjadi milik kami, ia membahayakan kami sendiri. Secara tiba-tiba kami mula kehilangan fokus.”

Sarri menurunkan kesebelasan utama sama seperti aksi berdepan Manchester City, minggu lalu, meletakkan Hazard di posisi penyerang nombor 9 dengan Olivier Giroud berada di bangku simpanan dan Alvaro Morata diketepikan kerana kecederaan lutut.

Bintang antarabangsa Belgium, Hazard tampil memukau apabila mencipta satu bantuan gol dan meledak jaringan    yang pertama sejak 7 Oktober lalu sebelum mengalami kecederaan ringan dan digantikan oleh Giroud pada minit ke-83.

“Eden OK,” kata Sarri. “Ia hanya kecederaan kecil. Saya sudah bercakap dengan doktor dan ia bukan masalah besar. Mungkin hanya perlukan satu atau dua hari rehat.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 11:15 AM