Azlan Muhammad Zain


SEPANG: "Nak beli ikan pun susah!”

Itu antara rintihan jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah ketika mengimbas kembali persiapannya menghadapi Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2019 di Chiang Mai, Thailand yang berakhir semalam.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan melakar sejarah tersendiri dengan kemenangan hatrik dalam kategori fizik 167cm.

"Kejayaan ini amat bermakna kerana saya mengalami banyak masalah kewangan kerana membuat persediaan sejak Jun lalu untuk menghadapi kejohanan Asia dan dunia.

"Sukar untuk mendapatkan penajaan sehingga saya hampir "terduduk" pada saat akhir. Saya menghabiskan kira-kira RM40,000 duit sendiri," jelasnya yang turut meraih gelaran Mr Asia buat kali keempat tahun ini.

Dia mengesahkan gelaran Mr Universe buat kali ketiga berturut-turut selepas menang pada malam Sabtu lalu dan muncul atlet lelaki pertama dunia dalam kategori fizik melakukannya.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak yang membantu saya dari segi kewangan. Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman membantu saya mendapatkan RM20,000 insentif kemenangan SHAKAM ketika menang Mr Universe 2017. Ia dibayar bulan lalu sekali gus membantu saya untuk meneruskan misi hatrik Mr Universe," katanya sejurus tiba di KLIA2 sebentar tadi.

Jelas Syarul Azman saingan sangat sengit untuk edisi 2018 sehingga dia terpaksa berwaspada dalam setiap perkara termasuk tidak minum air selama 15 jam bagi mengelakkan situasi tidak diingini berlaku terhadap badannya.

Kesukaran kewangan turut dikongsi Lilian Tan yang meraih dua emas di Chiang Mai selepas menang kategori 55kg ke atas dan masters 30 tahun ke atas.

"Memang sukar kerana tiada bantuan untuk melakukan persediaan selain peruntukan Majlis Sukan Negara (MSN) turut berkurangan.

"Sehinggalah ada rakan yang mencadangkan untuk mewujudkan akaun "public fund" yang membolehkan orang awam memberikan sumbangan. Saya tidak pasti jumlah terkumpul namun ia membantu dan menampung kira-kira 50 peratus perbelanjaan. Kejayaan ini sangat istimewa selepas saya berusaha keras dan mengimpikannya," katanya.

Kejayaan di Chiang Mai dalam kategori 55kg ke atas turut menjadikannya atlet wanita pertama dunia menang sebanyak empat kali.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:01 PM