Ron berkata pihaknya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes kemalangan meragut nyawa Hafiz. FOTO NSTP
Ron berkata pihaknya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes kemalangan meragut nyawa Hafiz. FOTO NSTP
Haika Khazi

 

KUALA LUMPUR: Promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS (Cub Prix), Safe Aim Mutual Sdn Bhd, sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes kemalangan yang meragut nyawa pelumba kelas CP150, Mohd Hafiz Nor Azman, semalam.

Pengarahnya, Ron Hogg berkata tindakan itu perlu kerana kematian pelumba muda berpotensi besar berkenaan adalah satu kehilangan besar bagi sukan permotoran negara khususnya perlumbaan Cub Prix.

Berikutan itu, Ron berkata seluruh keluarga besar Cub Prix menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan Mohd Hafiz yang maut akibat kemalangan dalam perlumbaan terakhir di Bandar Penawar, Johor, semalam.

Beliau juga mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan semua dokumen dan laporan berhubung kemalangan mengorbankan Mohd Hafiz kepada pihak berwajib - termasuk polis dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) selaku badan pemantau sukan permotoran di Malaysia. 

"Selaku penganjur bersama Safe Aim dan Penang Motor Sports Club, sedia memberikan bekerjasama sepenuhnya dan mengalu-alukan langkah AAM menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk menyiasat dan menganalisis punca sebenar kemalangan terbabit. 

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sokongan sebaik sahaja kemalangan terbabit berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Semalam media melaporkan Mohd Hafiz, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir perlumbaan, di Dataran Bandar Penawar.

Difahamkan, Hafiz, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi, selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4 petang, semalam.

Bapa mangsa yang juga bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan anaknya terlanggar penghadang di tepi litar menyebabkan penghadang itu terkeluar ke tengah litar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:32 PM