EDEN HAZARD
Agensi

LONDON: Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri perlu memutuskan sama ada sedia menanggung risiko terhadap kecederaan buku lali Eden Hazard ataupun menilai semula perancangan menghadapi suku akhir Piala Liga.

Telegraph Sport difahamkan Hazard bakal diturunkan untuk aksi berdepan Bournemouth di Stamford Bridge, awal pagi Khamis ini tatkala Sarri memburu trofi sulungnya.

Namun, bintang antarabangsa Belgium itu terpaksa dikeluarkan ketika kemenangan Chelsea ke atas Brighton, Ahad lalu selepas mengalami kecederaan buku lali yang memungkinkan dia tidak boleh beraksi.

Hazard dikatakan cergas dan sudah menyatakan betapa dia sedia diturunkan untuk aksi Bournemouth. Bagaimanapun Sarri agak bimbang mengambil risiko di kala jadual perlawanan yang padat menanti mereka selepas ini.

Penyerang Olivier Giroud mungkin bakal digantikan oleh Hazard yang menjaringkan gol dan mencipta bantuan gol ketika diturunkan sebagai penyerang sewaktu bertemu Brighton.

Kesungguhan Sarri untuk menurunkan Hazard membuktikan betapa pengendali dari Itali itu mengambil serius saingan Piala Liga, tatkala Chelsea mahu mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Sarri menegaskan The Blues sukar untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sekali gus meninggalkan Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa sebagai pentas terbaik untuk dimenangi.

Chelsea diundi bertemu Malmo dalam peringkat 32 terakhir Liga Europa dengan aksi pertama berlangsung di Sweden pada 14 Februari ini dan timbal balik kedua di Stamford Bridge mengambil tempat seminggu kemudiannya.  

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 11:46 AM