ZAPATA (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
ZAPATA (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

 

MILAN: Duvan Zapata meledak jaringan seawal minit pertama untuk membolehkan Atalanta terus meletakkan tekanan terhadap Lazio dalam pemburuan slot Eropah dengan kemenangan 1-0 di Bergamo, awal pagi tadi.

Penyerang Colombia itu mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Lazio selepas hanya 57 saat permainan untuk menghasilkan jaringan liga kelimanya musim ini.

Atalanta kini berada di kedudukan keenam berkongsi mata bersama Roma dan Sassuolo, hanya satu mata di belakang Lazio di kedudukan kelima yang gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terakhir.

Pertahanan Lazio, Francesco Acerbi nyaris mengikat kedudukan dengan gol tandukan masa kecederaan, namun gol itu dibatalkan selepas ulang tayang VAR menunjukkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

“Kami berada dalam tempoh sukar yang mana tuah tidak memihak kami dan kami perlu mengubahnya,” kata pengendali Lazio, Simone Inzaghi berkenaan pasukannya yang hanya mengutip empat mata daripada lima aksi terakhir.

“Kami kecundang, tetapi kekal di kedudukan kelima dan bermula daripada sini kami perlu memecut ke depan. Lazio akan terus merebut tiket ke saingan Eropah.”

Juara bertahan Juventus mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 1-0 ke atas Torino hasil jaringan penalti Cristiano Ronaldo, Sabtu lalu.

Napoli lapan mata di belakang peneraju itu selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Cagliari, dengan Inter Milan kemudiannya tiga mata di belakang selepas menewaskan Udinese 1-0.  

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:08 PM
Kabinet Malaysia 2020