Sathianathan kecewa dengan layanan pengurusan kelab FELDA United. FOTO NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR:  Bekas pengendali FELDA United, B Sathianathan nyata kecewa terhadap layanan ditunjukkan pihak pengurusan kelab itu terhadap tunggakan gaji membabitkan pegawai dan pemain yang sudah berlarutan tiga bulan.

Lebih memedihkan, bukan setakat tidak dibayar gaji, bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain dan pegawai juga tidak dilunaskan pengurusan ‘The Fighters’ selama lima bulan, bermula Julai lalu.

Sathianathan berkata, pihak pengurusan bagaikan endah tidak endah terhadap tunggakan gaji dihadapi pegawai dan pemain selepas tidak memaklumkan sebarang perkembangan atau mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Mereka tidak datang bertemu kami untuk menjelaskan situasi sebenar dan apa yang menyebabkan ia berlaku, jadi perkara ini tidak dapat diselesaikan.

“Apa yang dikesalkan, masalah tunggakan gaji ini belum lagi selesai tetapi pengurusan sudah sibuk hendak mempersiap pasukan untuk bersaing dalam Liga Super musim hadapan.

“Sampai sekarang saya masih menunggu pengurusan FELDA United memanggil saya untuk bertemu tetapi batang hidung mereka pun saya tidak nampak,” kata Sathianathan.

Sathianathan yang bakal mengendalikan Selangor bermula musim hadapan menegaskan bukan hanya memikirkan mengenai dirinya namun turut memperjuang hak bekas pemainnya yang tidak lagi bersama pasukan terbabit.

“Peman tanya saya mengenai pembayaran gaji mereka, saya tak tahu apa nak jawab. Saya kecewa dengan apa yang dilakukan terhadap kami.

“Cuba bayangkan ada pemain yang tidak mempunyai kelab musim hadapan serta tak mempunyai wang kerana tunggakan gaji tiga bulan itu.

“Saya perlu mengaku perkara ini memang terjadi, jadi pihak pengurusan FELDA United perlu bertanggungjawab dan bukannya berdiam diri,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 2:21 PM