Pogba dilaporkan mendapat minat Juventus. FOTO REUTERS
Agensi

LONDON: Ejen Paul Pogba, Mino Raiola dilaporkan mengadakan perbincangan dengan juara Itali, Juventus yang berminat untuk mendapatkan semula pemain tengah yang dijual dengan nilai 89 juta pound (RM469.3 juta) pada 2016.

Pogba, yang berada di Perancis bersama bekas rakan sepasukannya di Juventus, Paulo Dybala pada Isnin, tidak lagi menjadi pilihan Jose Mourinho dan dilabel sebagai individu yang tidak diinginkan dalam bilik persalinan.

Pemain Perancis itu bersikap terbuka mahu meninggalkan Old Trafford namun kelab itu tidak mahu menjualnya pada jendela perpindahan bulan depan.

Hasrat Pogba itu turut bergantung terhadap masa depan Mourinho sebagai pengurus susulan tekanan yang semakin meningkat ke atasnya.

Selepas bergelut untuk meningkatkan prestasi pasukan, Mourinho barharap dapat memperkasakan United bulan depan dengan tumpuan kepada pertahanan namun beliau mungkin tidak akan kekal untuk melihat pemain baharu yang akan dibeli. 

Walaupun beliau mahukan pertahanan tengah yang berpengalaman seperti pemain Napoli, Kalidou Koulibaly yang bernilai lebih 90 juta pound (RM474.5 juta), United turut berbincang untuk mendapatkan pemain tengah Galatasaray, Ozan Kabak selain Eder Militao (Porto) dan Nikola Milenkovic (Fiorentina).

Ia bermula selepas kekalahan kepada seteru Liverpool hujung minggu lalu.

Ketika kebanyakan pemain United masih suram dengan kekalahan itu namun Pogba sebaliknya terbang ke Paris sehari selepas itu.

Pemain tengah Perancis itu, tidak diturunkan ketika United gagal memberi saingan di Anfield, menghabiskan masa pada Isnin bersama Dybala di majlis Adidas Tango League.

Kedua-duanya memakai pakaian Adidas.

Masa depan Pogba di Old Trafford, selepas tidak sehaluan dengan pengurus Mourinho, tidak menentu dan kini bekas kelabnya itu kembali berminat mendapatkan khidmatnya.

Barcelona turut mempertimbangkan untuk mendapatkan pemain tengah pada jendela perpindahan bulan depan.

Beberapa keping gambar yang dikongsi menerusi Instagram pada Isnin, menunjukkan Pogba gembira menemani  Dybala yang bersama-samanya meraih kejuaraan Serie A dan Coppa Italia pada 2016.

Salah satu gambar dirinya bersama Dybala ditulis bahasa Sepanyol: 'Con mi Hermano' yang bermaksud: :'Bersama saudara saya'.

United menjadikan Pogba pemain termahal apabila mendapatkannya dari Juventus pada 2016 namun dia masih belum mendapat prestasi terbaik di peringkat kelab walaupun menyinar untuk Perancis dengan menjulang Piala Dunia 2018.

Dia diberikan tanggungjawab sebagai kapten oleh Mourinho pada awal musim namun pada September pengurus itu memberitahunya dia tidak akan diberikan peluang mengetuai pasukan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 4:35 PM