PELUMBA kategori CP150 beraksi dalam acara latihan bebas 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018. FOTO Zulfadhli Zulkifli
PELUMBA kategori CP150 beraksi dalam acara latihan bebas 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS perlu menilai kembali aspek keselamatan dan spesifikasi trek bagi menampung kehendak jentera yang lebih pantas digunakan dalam kategori itu ketika ini.

Juara tiga kali cub prix, Ahmad Fuad Baharudin, yang memiliki pengalaman selama dua dekad dalam siri perlumbaan berkenaan berkata, jentera 150cc (kelas CP150) yang diperkenalkan dalam kejuaraan itu tahun lalu memerlukan litar yang dinaik taraf kerana ia jauh lebih laju berbanding dua lagi kategori (CP115 dan Wira).

“Dari sudut keselamatan, ada banyak penambahbaikan dalam cub prix berbanding pada tahun 1990-an dengan penambahan beg udara dan pagar keselamatan juga dipertingkatkan,” kata Fuad ketika dihubungi hari ini.

“Saya percaya ciri keselamatan dan spesifikasinya adalah mencukupi untuk kategori CP115 dan Wira, di mana jenteranya lebih perlahan. Tetapi saya percaya penambahbaikan diperlukan untuk menjadikannya lebih selamat bagi kategori CP150 yang jauh lebih laju.

“Jika kamu lihat kepada masa sepusingan perlumbaan di Bandar Penawar, penunggang dalam kelas CP150 tiga saat lebih laju (sepusingan) berbanding CP115 dan lima saat lebih pantas daripada kategori Wira.

“Jika kamu melihat daripada data Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mereka (CP150) secara purata 20km/jam lebih pantas berbanding CP115. AAM perlu menilai dengan teliti bagaimana untuk memastikan pelumba dalam kelas CP150 lebih selamat kerana mereka adalah badan yang bersetuju menganjurkan siri ini dan meluluskan litar perlumbaan.

“Saya mencadangkan litar yang lebih lebar kerana ketika ini ia terlalu sempit di sesetengah perlumbaan. Selain itu, apa yang  diperlukan juga adalah laluan lurus yang panjang terutama di penghujung perlumbaan dan selekoh berkelajuan tinggi.

“Tetapi ini adalah beberapa cadangan saja, ada banyak lagi yang boleh diteliti AAM dan menjadikannya lebih selamat,” kata Fuad yang ketika ini menguruskan pasukan SIC Junior Team AFC Tech Racing yang turut bersaing dalam perlumbaan itu.

Tahun lalu, pelumba berpengalaman negara Norizman Ismail maut selepas mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan pada pusingan ketiga kejuaraan di Kijal, Terengganu pada Mei.

Ahad lalu, pelumba muda berbakat negara Mohd Hafiz Nor Azman meninggal dunia selepas mengalami kemalangan tragis di perlumbaan penutup musim di Bandar Penawar Johor dengan kedua-duanya beraksi dalam kelas CP150.

Sebelum itu, hanya seorang pelumba meninggal dunia dalam kejuaraan berkenaan iaitu Abdullah Abdul Rahman yang menjadi penunggang pertama maut ketika perlumbaan di Kedah pada tahun 1999.

Sebagai rekod, perlumbaan cub prix yang diperkenalkan pada 1994 memainkan peranan penting bagi pembangunan bakat muda negara dan melahirkan beberapa jaguh dunia antaranya Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:08 PM