DELE ALLI
AFP

LONDON: Tottenham melangkah ke separuh akhir Piala Liga selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas musuh utama Arsenal namun kelab dari utara London itu dibayangi insiden Dele Alli terkena botol yang dibaling penonton.

Penyerang dari Korea Selatan, Son Heung-Min meletakkan Tottenham di hadapan pada babak pertama pertembungan suku akhir itu.

Alli seterusnya menambah kelebihan buat Tottenham pada separuh masa kedua membolehkan mereka mencipta kemenangan pertama di Stadium Emirates dalam 10 kunjungan mereka sejak 2010 ke stadium itu.

Pemain tengah England itu melakukan aksi provokasi yang menimbulkan kemarahan penyokong Arsenal sehingga menyebabkan mereka membaling botol plastik yang terkena bahagian belakang kepala Alli pada minit ke-73.

Alli kelihatan menggosok kepalanya namun bertindak balas memberi isyarat kepada penyokong Arsenal dengan menunjukkan isyarat jari 2-0.

“Itulah yang menjadikan gol itu lebih manis dan kami menang,” kata Alli dengan senyuman.

“Kami tahu betapa pentingnya hari ini, ia ujian besar. Satu persembahan mantap di penghujung perlawanan.”

Terdapat juga objek lain yang dilemparkan penyokong Arsenal ke bahagian tempat duduk penyokong Tottenham ketika keadaan di stadium bertambah tegang.

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku selepas seorang penyokong Tottenham diharamkan empat tahun selepas didapati bersalah melemparkan kulit pisang kepada pemain Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang ketika dua pasukan itu bertemu awal bulan ini.

Ia menimbulkan keresahan terhadap sikap penyokong selepas isu ejekan perkauman membabitkan pemain Manchester City Raheem Sterling oleh penyokong Chelsea.

Menerusi rakaman CCTV untuk mencari siapakah yang melakukan perkara itu, pengendali Gunners, Unai Emery mengutuk insiden itu dengan berkata: “Jika berlaku situasi seperti itu ia bukan satu tingkah laku yang baik.”

Prestasi Tottenham yang kini semakin mantap menjadi alasan utama mengapa Mauricio Pochettino menjadi pilihan menggantikan Jose Mourinho sebagai pengurus Manchester United.

Pochettino masih belum meraih sebarang trofi utama sepanjang empat tahun mengendalikan Tottenham ataupun ketika bersama Espanyol dan Southampton.

Namun jika pengendali berusia 46 tahun itu mengambil alih tugas di United pada penghujung musim ini selepas pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer menamatkan tugas, dia tetap berpeluang untuk menjulang trofi kejuaraan bersama Tottenham.

Tottenham belum memenangi hadiah utama sejak menjulang Piala Liga pada 2008 dan mereka akan menentang Chelsea seterusnya bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.

Eden Hazard yang dimasukkan sebagai pemain gantian meledakkan gol kemenangan buat Chelsea pada minit ke-84 untuk menewaskan Bournemouth 1-0 di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 10:43 AM