MESUT OZIL
Agensi

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery mengesahkan keputusannya tidak menyenaraikan Mesut Ozil ketika menentang Tottenham Hotspur, awal pagi tadi hanya sebagai percaturan taktikal.

Bagaimanapun, dia enggan menjawab soalan sama ada pemain tengah antarabangsa Jerman itu masih mempunyai masa depan bersama kelab berkenaan.

Ozil langsung tidak berada dalam skuad Arsenal pada aksi suku akhir Piala Liga itu yang menyaksikan Spurs melakar kemenangan 2-0 di Stadium Emirates dengan Emery menjelaskan dia mampu mendapat aksi terbaik daripada pemain muda akademi kelab itu, Joe Willock dan Eddie Nketiah yang diletakkan di bangku simpanan.

“Ia hanya percaturan taktikal. Saya fikir pemain yang disenaraikan hari ini (awal pagi tadi) adalah yang terbaik untuk perlawanan ini,” kata Emery.

Keputusan itu pastinya mengundang pelbagai persoalan ketika Arsenal dilihat gagal mengekang serangan Spurs yang menjaringkan gol menerusi gerakan hantaran bola dari jauh ke benteng pertahanan The Gunners.

Ia turut mencetuskan spekulasi mengenai hubungan Emery dengan Ozil  yang turut terlepas aksi disebabkan masalah kesihatan dan kecederaan belakang sebelum ini.

Dia digugurkan pada perlawanan menentang Spurs selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Sputhampton Ahad lalu.

Bagaimanapun, Emery enggan mengulas lanjut mengapa dia tidak mahu menyenaraikan Ozil atau adakah dia mahu menjual pemain itu pada perpindahan pemain, bulan depan.

“Fokus saya adalah perlawanan Sabtu ini menentang Burnley dan tidak memikirkan mengenai perkara lain. Saya memikirkan semua pemain, kami memiliki 24 hingga 25 pemain.

“Dan apabila mereka bermain dalam satu perlawanan dan tidak diturunkan pada perlawanan lain, ia adalah keputusan saya dan disebabkan percaturan taktikal.

“Esok, kami akan menjalani latihan dan lihat sama ada mereka akan dipilih untuk aksi menentang Burnley,” katanya.

"Saya puas hati dengan prestasi pemain hari ini (awal pagi tadi) tetapi tidak dengan keputusan perlawanan.”

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal tewas buat kali kedua berturut-turut selepas 22 perlawanan tanpa kalah – hadir tiga minggu selepas mereka menewaskan Tottenham 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:27 PM