PEMAIN Malaysia, Wan Izzuddin Ismail (atas) mengasak pemain Filipina, Coveney Justin Thomas pada aksi ragbi 7 sebelah lelaki ketika Sukan SEA 2017. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Skuad ragbi 7-sebelah (7s) lelaki kebangsaan dijangka berdepan tugas getir dalam merealisasikan misi mempertahan pingat emas Sukan SEA di Filipina, bermula 30 November hingga 11 Disember 2019.

Setiausaha Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Jamaluddin Salim berkata, ia berikutan tuan rumah, Filipina dijangka membariskan ramai pemain kacukan yang sedang beraksi di negara-negara Oceania seperti New Zealand dan Australia dalam usaha merampas pingat emas itu.

“Kita sudah minta (ingatkan) pemain kita bahawa mereka tidak boleh leka dan perlu membuat persiapan yang lebih rapi kerana saingan sengit kali ini.

“Filipina dijangka memanggil pemain mereka yang mempunyai dua kerakyatan yang sedang menetap atau belajar di New Zealand dan Australia,” katanya.

Berikutan itu, KRM telah merangka program latihan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melatih 16 pemain secara sepenuh masa, selain menghantar mereka menyertai beberapa kejohanan luar negara.

“Kita telah menetapkan beberapa kejohanan yang akan disertai dan setiap kejohanan mesti ada KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai. Antara kejohanan yang dirancang ialah Borneo Sevens pada Mac, program ke Jepun pada Mei, kemudian Asian Sevens Series pada Ogos.

“Program memang dah ada, cuma tunggu bajet dari MSN untuk melaksanakannya. MSN juga bersetuju untuk menambah empat pemain selepas pada awalnya hanya membenarkan 12 pemain,” katanya.

Setakat ini, KRM telah memilih 10 pemain daripada skuad yang meraih emas pada tahun lalu dan selebihnya akan dipilih daripada skuad Asian Sevens Series dan Sukan Asia Jakarta-Palembang, tahun ini.

Bagi skuad wanita 7s negara yang meraih gangsa pada Sukan SEA lalu, katanya, berikutan peruntukan MSN tidak setinggi peruntukan diterima skuad lelaki, kerana perbezaan warna pingat, KRM akan menggunakan sebahagian tajaan UEM Group Berhad (RM2 juta) untuk persiapan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:34 PM