SHAHRIFFUDDIN ketika pelancaran Kalendar Jelajah PGM 2019. FOTO Mahzir Mat Isa
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Berbekalkan baki tempoh satu setengah tahun, Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) menaruh keyakinan pemain golf negara akan berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Saya yakin terhadap 20 pemain terbaik yang kita ada. Ada pemain kita yang akan memperoleh mata menerusi Jelajah Asia manakala yang lain boleh mengumpul mata ranking menerusi Jelajah Pembangunan Asia (ADT)," kata Presiden PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid ketika pelancaran Kalendar Jelajah PGM 2019 di ibu pejabat PGM di sini hari ini.

Pemain golf negara mempunyai peluang merebut dua tiket ke Olimpik apabila menempatkan diri dalam ranking 300 terbaik dunia, dengan kini Gavin Kyle Green mendahului kedudukan terbaik di ranking ke-214, diikuti Ben Leong (407) dan Shahriffuddin Ariffin (554).

"KPI (Indeks Prestasi Utama) bagi persatuan kami tahun hadapan adalah melayakkan diri ke Olimpik. Itu sasaran utama kami," kata Ahmad Sarji. 

Mengenai kalendar PGM tahun hadapan, dua kejohanan - Kejohanan Labuan PGM dan Kejohanan Miri PGM - tidak dipertandingkan kerana ketiadaan penaja, sekali gus menjadikan jumlah kejohanan ADT dikurangkan kepada sembilan.

Sementara itu, Shahriffuddin berkata berkata jumlah kejohanan yang kurang tidak memberi kepadanya dengan dia tetap akan memberi fokus untuk melonjakkan tahap permainannya dalam setiap penyertaan.

"Saya perlu melakukan yang terbaik dalam kejohanan luar termasuk Jelajah Asia atau ADT bagi mengutip mata untuk sekurang-kurangnya lima tempat terbaik dalam setiap pertandingan," katanya.

Pemain berumur 19 tahun itu berkata buat permulaannya dia akan memberi tumpuan terhadap Terbuka Singapura SMBC yang akan berlangsung pada 17-20 Januari 2019 dan juga Kejohanan Maybank di Kuala Lumpur, 21-24 Mac 2019.

"Fokus saya adalah untuk di Terbuka Singapura dan Kejohanan Maybank kerana sasaran saya adalah untuk menduduki ranking yang lebih baik kerana dua kejohanan ini memberikan mata yang lebih besar bagi kelayakan ke Olimpik," katanya.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 5:40 PM