AKHYAR Rashid. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan semua pihak tidak boleh menyalahkan Akhyar Rashid jika pemain itu benar-benar mahu berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau berpendapat semua pemain di negara ini menaruh impian untuk beraksi dengan JDT berdasarkan pelbagai kemudahan yang disediakan kelab selatan tanah air itu.

“Terus terang saya katakan semua pemain di negara ini akan mimpi untuk ke JDT kerana kalau saya sebagai seorang pemain pun saya tidak teragak-agak (menerima) kalau mendapat tawaran JDT.

“Mereka (JDT) memiliki kemudahan yang baik, pemain yang bagus, tiada masalah gaji, tiada masalah bonus, ada pemain import yang baik, boleh main di Liga Juara-Juara Asia dan banyak lagi.

“Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) sudah bagi semuanya, apa lagi yang pemain mahu? Bagi kes Akhyar, terpulang kepada dia, tapi anda tidak boleh salahkan dia jika dia nak ke JDT,” katanya.

Spekulasi perpindahan Akhyar menjadi isu hangat ketika ini selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendakwa JDT tidak mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka sedangkan pemain itu masih memiliki kontrak setahun bersama Helang Merah.

Malah, KFA juga tidak berpuas hati dengan nilai pampasan sebanyak RM75,000 yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan pemain Harimau Malaya itu.

Menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, awal bulan ini juga menyaksikan Akhyar dibenarkan untuk menebus kontraknya sebanyak RM210,000 bersama KFA.

Selain JDT dan Perlis, timbul juga spekulasi mengejutkan apabila Selangor turut dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar musim depan.

Sambil mengakui tidak mengetahui mengenai spekulasi itu, Sathianathan yang juga jurulatih Selangor tidak menafikan Red Giants sedia membuka pintu terhadap pemain bagus seperti Akhyar.

“Kalau benar dia nak datang ke Selangor, kami (sedia) buka pintu. Tapi kami kena fikir juga Akhyar nak ke sertai Selangor atau dia ada syarat lain. Tapi kalau anda tanya saya dari mata seorang jurulatih, memang bodoh kalau kami cakap tak nak terima dia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 5:47 PM