ONG Kim Swee bersama Skuad B-23, Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee yakin dapat membentuk pasukan mantap bagi mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan Asia Mac depan meskipun hanya menduduki tangga ketiga pada Piala Newspaper di Vietnam minggu lalu.

Pada kejohanan itu, beliau membariskan ramai pemain baru skuad B-21 dan hanya membawa beberapa tonggak utama seperti Daniel Amier Norhisham, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Dominic Tan.

“Ramai pemain yang saya bawa ke kejohanan itu pemain yang tidak pernah atau kurang pendedahan di peringkat antarabangsa. Memang dari segi keputusan ia kurang memberangsangkan, tapi saya berpuas hati kerana dapat menilai pemain yang boleh dipanggil selepas ini.

“Berdasarkan persembahan mereka, hanya lima hingga lapan pemain baru akan saya panggil semula bagi sesi latihan pusat bermula 9 atau 10 Januari depan selama lebih kurang dua minggu.

“Di situ saya akan panggil semua pemain termasuk Safawi Rasid, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba dan Akhyar Rashid yang mewakili skuad senior di Piala AFF. Saya percaya dengan gabungan pemain muda berpengalaman dan pemain baru, kami mampu memberikan saingan hebat pada pusingan kelayakan Asia nanti,” kata Kim Swee kepada Sukan NSTP, hari ini.

Pada kejohanan Piala Newspaper, skuad muda negara menduduki tangga ketiga selepas mengalahkan kelab Korea Selatan, Gimhae FC 2-0 manakala Vietnam B-21 muncul juara dengan mengalahkan Myanmar B-21 menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas aksi terikat 2-2 pada final.

Pada pusingan kelayakan Kejohanan B-23 Asia di Kuala Lumpur tahun depan, Malaysia diundi bersama China, Laos dan Filipina dalam Kumpulan J bagi memburu slot ke pusingan akhir di Bangkok pada Januari 2020.

Kim Swee dan anak buahnya melakar kejutan pada pusingan akhir Kejohanan Asia di China awal tahun ini apabila mara ke suku akhir buat julung kali.

“Saya harap dapat memanggil semua pemain pada latihan pusat Januari ini kerana ia masa terbaik buat saya untuk mempersiapkan pasukan. Saya yakin tidak ada masalah untuk mengumpul semua pemain kerana ketika itu Liga Malaysia masih belum bermula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 6:03 PM