HADI Fayyadh Abdul Razak. FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Bintang dalam pembikinan, Hadi Fayyadh Abdul Razak perlu lebih kuat supaya perjalanan kariernya bersama kelab bola sepak Jepun, Fagiano Okayama tidak hanya terhenti sekerat jalan.

Itu pandangan pengendali skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak selepas menyaksikan situasi membabitkan beberapa pemain negara yang selepas mendapat peluang beraksi di luar negara, memilih untuk pulang lebih awal ke tanah air.

Jelasnya, dengan kualiti bola sepak di Jepun yang jauh lebih tinggi, bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perlu membuktikan dia mampu menjadi lebih baik berbanding pemain tempatan di kelab berkenaan.

"Kebanyakan pemain Malaysia yang beraksi di luar negara, mereka mencuba dengan baik tetapi akhirnya pulang lebih awal atas pelbagai sebab. Jadi saya mengharapkan Hadi Fayyadh dapat kekal lebih lama apabila berada di sana.

"Bagi saya, menyertai pasukan divisyen dua Jepun sudah dianggap cukup baik untuk pemain Malaysia dan dia perlu bekerja keras untuk berjaya pada saingan liga yang sudah pastinya lebih mencabar.

"Namun saya yakin Hadi Fayyadh mampu melakukannya kerana dia seorang pemain yang begitu rajin. Berbekalkan kualiti dimilikinya, dia tentu dapat mencipta nama di sana apatah lagi beraksi di Jepun sememangnya menjadi impiannya," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, kepulangan Hadi Fayyadh buat kali kedua ke pasukan terbabit nyata berbaloi selepas dia sah ‘melekat’ sebagai pemain baharu pasukan itu, semalam.

Pasukan yang beraksi dalam Divisyen Dua Liga Jepun (J2) itu menandatangani khidmat penyerang tinggi lampai itu selepas dia menjalani dua sesi latihan bersama mereka pada September dan November lalu.

Musim lalu, pasukan bimbingan Tetsu Nagawasa itu menamatkan saingan di tangga ke-15 daripada 22 pasukan selepas menghimpun 53 mata menerusi 14 kemenangan dan 11 seri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 3:34 PM