PENYERANG berpengalaman Bayern Munich, Franck Ribery. FOTO EPA
PENYERANG berpengalaman Bayern Munich, Franck Ribery. FOTO EPA
AFP

BERLIN: Penyerang berpengalaman Franck Ribery berharap kontraknya bersama Bayern Munich akan disambung selepas meledak tiga gol dalam tempoh empat hari membolehkan juara bertahan itu melonjak kedudukan ke tempat kedua dalam saingan Bundesliga, awal pagi tadi.

Menyertai Bayern pada 2007, Ribery mempunyai alasan kukuh untuk kelab terus menyambung kontraknya yang akan tamat Jun depan selepas menjaringkan dua gol ketika mereka menang 3-0 di Eintracht Frankfurt selain turut mencetak nama sebagai penjaring ketika bertemu RB Leipzig, Rabu lalu.

"Ia soalan ukar untuk dijawab. Saya tidak tahu apa berlaku musim depan," kata Ribery yang mengalami kecederaan selepas Bayern mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam aksi Bundesliga.

"Saya sangat gembira kembali cergas, bermain dan meledakkan gol. Saya memberikan 100 peratus untuk kelab selepas hampir 12 tahun di sini. Sudah tentu saya mahu terus kekal di sini." 

Ribery melakar rekod dengan lapan gelaran juara liga Bundesliga dan menjulang gelaran Liga Juara-Juara pada 2013 dan membuat lebih 400 penampilan bersama gergasi Bavaria.

"Saya sukakan Bayern dan Bayern suka saya. Banyak yang kami lakukan bersama," katanya.

"Masih ada lima bulan dan anda tidak akan tahu apa akan terjadi dalam kehidupan anda."

Menjelang cuti musim sejuk selama empat minggu, Rafinha berjaya meletakkan namanya sebagai penjaring apabila menjaring gol ketiga buat Bayern untuk membantu pasukan itu menduduki tempat kedua  seterusnya merapatkan jurang dengan pendahulu Borussia Dortmund kepada enam mata.

"Borussia Dortmund bermain dengan baik tapi kami hanya dipisahkan enam mata di belakang dan saya harap kami akan menjadi juara," kata Ribery yang berharap Bayern dapat menjulang gelaran Bundesliga ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 8:34 AM