AKHYAR (tengah) menerima jersi daripada PFA, semalam.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dilihat serius untuk membawa masuk tonggak lincah skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid apabila delegasi PFA yang diketuai presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit hadir ke rumah Akhyar bagi mengadakan perbincangan dengan pemain muda itu.

Biarpun kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat sering 'bercakaran' berhubung status pemain yang diberi julukan ‘Neymar Kedah’, PFA dilihat semakin hampir mendapatkan tandatangan tonggak berusia 19 tahun itu.

Menerusi posting terbaharu dimuatnaik di laman Facebook NorthernLions Perlis, kelihatan Akhyar memegang jersi skuad Singa Utara yang turut disaksikan ahli keluarga pemain berkenaan.

"Presiden, barisan Exco dan barisan kejurulatihan PFA membuat lawatan ke rumah Akhyar Rashid sebagai tanda lamaran ke Perlis," kata badan induk Perlis itu.

Sebelum ini, spekulasi perpindahan Akhyar ke JDT hangat diperkatakan hingga mencetus ‘drama’ dengan KFA yang mendakwa pemain berkenaan masih memiliki kontrak setahun dan dijangka tamat pada penghujung musim depan.

JDT didakwa cuba menggunakan 'pintu belakang' untuk mendapatkan Akhyar, namun ia ditepis Pengarah Teknikal skuad Harimau Selatan, Alistair Edwards.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudiannya mengumumkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:41 PM