MAURIZIO Sarri (tenhgah). FOTO AFP
Agensi

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan bantuan pakar psikologi sukan selepas mendakwa barisan pemainnya yang tewas 0-1 di tangan Leicester City, Sabtu lalu disebabkan kekeliruan mental.

Gol jaringan Jamie Vardy pada babak kedua perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu menyaksikan The Blues mengalamai kekalahan ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris sekali gus ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Mereka yang menghuni tangga keempat liga hanya dipisahkan menerusi perbezaan gol dengan Arsenal di kedudukan kelima.

Kekalahan itu membuatkan Sarri mengkritik barisan pemainnya apabila mendakwa mereka lemah dari aspek mental berbanding taktikal dan fizikal.

Ditanya sama ada dia menggunakan khidmat pakar psikologi sukan untuk mengatasi masalah dialami pemain Chelsea, Sarri menjawab: “Tidak buat masa ini kerana ia bukan mudah.

“Saya mempunyai pakar psikologi sukan 15 tahun lalu. Di Itali, ia sangat sukar kerana kelab tidak bersedia pada masa itu tetapi saya fikir mereka juga tidak bersedia pada masa ini. Ini pengalaman saya ketika di Itali.

“Saya tidak pasti di sini. Kita boleh bercakap perkara ini dengan kelab. Kenapa tidak?

“Ia jelas kami tewas bukan disebabkan cara kami bermain. Kami kurang bernasib baik dan kami tewas kerana reaksi selepas lawan menjaringkan gol adalah tidak betul.

“Kami  bermain dengan corak permainan yang sama. Kami menguasai keseluruhan perlawanan,” kata Sarri.

Jadual padat pada musim perayaan memberi kesan kepada hampir semua pemain tetapi Sarri percaya anak buahnya tidak terkesan dengan perkara berkenaan.

Sebaliknya, dia menegaskan barisan pemain The Blues memiliki tahap ketahanan fizikal yang tinggi dan mampu mengharungi jadual yang padat. – AGENSI

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 8:37 AM