FAUZI (kiri) bersama Setiausaha Agung KAFA, Farah Anida Mansor selepas sesi menandatangani kontrak untuk menyarung jersi The Red Warriors. FOTO ihsan KAFA
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sah mengikat bekas pemain Melaka United (MU), Fauzi Roslan dan Mohd Saufi Muhammad bagi mengisi posisi penyerang serta penjaga gol skuad The Red Warriors (TRW), bagi musim 2019.

Fauzi, 31, atau lebih dikenali sebagai Kojie, anak jati Pekan, Pahang, pernah beraksi sebagai pemain sayap kiri dan penyerang ketika memulakan karier bersama Pahang (2012-2016) dan bagi musim 2017-2018, dia menyarung jersi MU.

Saufi, 27, pemain kelahiran Kuantan, pernah beraksi dengan skuad Piala Presiden Pahang (musim 2012-2015) dan mewakili skuad senior Tok Gajah pada musim 2016.

Perkara itu disahkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mengikat kontrak Kojie dan Saufi selama setahun, untuk mengisi kekosongan kuota pemain tempatan.

"KAFA mengucapkan selamat datang kepada dua pemain ini dengan harapan agar mereka mampu memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

"KAFA berharap dengan kemasukan dua pemain berpengalaman ini dapat mengimbangi kekuatan barisan muda untuk beraksi lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai persediaan pasukan itu mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan, Bibi Ramjani berkata, TRW sudah memulakan sesi latihan sejak awal bulan ini di bawah kendalian penolong jurulatih, Kamarudin Mohammad.

Pada masa sama, katanya TRW akan meneruskan usaha mengikat pemain baharu serta import dengan sebahagian besar daripada mereka dijangka akan menghadiri sesi ujian pemilihan pada awal Januari ini.

Untuk rekod, saingan Liga M bagi musim 2019 akan bermula pada pertengahan Februari ini dan setiap pasukan masih mempunyai masa lebih sebulan untuk mendaftarkan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 5:57 PM