ISMAIL ZAKARIA
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Bekas pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria mengakui bersyukur dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan Kuantan FA segera menjelaskan tunggakan gaji membabitkan 44 tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM1.72 juta.

Daripada 44 tuntutan itu, Ismail antara penuntut jumlah terbesar dengan RM300,000 membabitkan tunggakan gaji RM100,000 dan pampasan baki kontrak sebanyak RM200,000.

Biarpun gembira dengan hasil keputusan itu, beliau bimbang dengan sikap 'lepas tangan' Kuantan FA yang mungkin tidak akan menghiraukan arahan FAM itu.

Keengganan Kuantan FA menyelesaikan isu ini bukanlah pertama kali kerana pada musim 2017 masalah sama turut berlaku dengan kelab terbabit hingga ke hari ini juga masih belum menyelesaikan isu itu, biarpun sudah dibincangkan dalam Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Katanya, bagi mengelak skuad The Seagulls itu mengulangi skrip sama, beliau menyarankan supaya FAM mengheret Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) kerana kelab berkenaan adalah di bawah ahli gabungan mereka.

“Saya gembira (keputusan Jawatankuasa Tatatertib) dengan arahan supaya Kuantan FA selesaikan tunggakan gaji saya, tetapi saya rasa mereka takkan bayar dan ikut arahan FAM.

“Ini bukan pertama kali, bahkan sudah berkali-kali Kuantan FA ingkar arahan FAM. Dulu musim 2017, mereka juga mengalami masalah tunggakan gaji namun senyap tak bayar apa-apapun.

“Musim 2018 pula, ketika saya membimbing pasukan isu sama berulang dan sekarang FAM arahkan mereka bayar. Macam mana Kuantan FA nak bayar kalau mereka sendiripun tidak ada duit.“

“Jadi saya lihat jalan terakhir untuk mengatasi isu ini ialah PBNP kena bantu selesaikan masalah ini kerana Kuantan FA adalah kelab di bawah PBNP.

“Saya rasa itu yang sebaiknya FAM patut fikirkan dan bukan tunggu dan terus menunggu. Saya dan bekas pemain Kuantan FA mengharapkan tindakan lebih berani dan serius daripada FAM untuk selesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kali kesembilan, Kuantan FA dan pasukan Pulau Pinang diarahkan segera melunaskan tunggakan gaji membabitkan jumlah keseluruhan RM1.72 juta bagi Kuantan dan RM497,000 kepada skuad Harimau Kumbang.

Isu ini turut mendapat perhatian Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mahu kedua-dua kelab berkenaan segera menyelesaikan kes tunggakan gaji itu sebelum bermulanya saingan baharu Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 2:04 PM