PENGENDALI skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee. FOTO NSTP
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya memerlukan pemain pertahanan bagi menghadapi musim 2019 yang padat.

Skuad itu akan diuji bermula Mac depan bagi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) di Kemboja serta pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 selain Sukan SEA di Filipina.

Sebelum Kim Swee menyasarkan keputusan lebih baik daripada pingat perak Sukan SEA dan suku akhir Kejuaraan B-23 AFC, Kim Swee kini perlu memburu pertahanan baharu.

“Sudah tentu ada banyak aspek yang perlu ditambah baik, namun apa yang menjadi keutamaan adalah barisan pertahanan kerana kita kehilangan Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria kerana faktor usia dan hanya tinggal Dominic Tan.

“Berdasarkan penamat tempat ketiga pada Piala Newspaper, saya tidak berpuas hati tetapi ada ruang untuk penambahbaikan dan jika kelemahan ini dapat diperbaiki, kita dapat mencapai sasaran.”

Meskipun pengendali berusia 48 tahun itu masih memiliki Haziq Nadzli, Dominic dan Syahmi Safari, namun beliau tetap perlu mendapatkan pertahanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Adam dan Irfan yang sebelum ini membantu skuad senior muncul naib juara Piala AFF 2018.

“Kita memerlukan pertahanan dan perlu bermain banyak kombinasi kerana sistem yang kami gunakan, saya mahu pertahanan yang bukan sahaja boleh bertahan tetapi mampu membuat hantaran dan menggerakkan bola dengan baik kepada pemain tengah dan penyerang.

“Pada aksi Piala Newspaper, saya mengenalpasti beberapa pemain seperti Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II), Ariff Ar Rasyid Ariffin (PKNS FC) dan Evan Wensley Wenceslaus (Sabah), namun mereka memerlukan lebih banyak permainan untuk membentuk kombinasi mantap.

“Sebelum ini, kita ada Dominic dan Irfan yang bergandingan dengan baik dalam banyak perlawanan kerana dari situlah mereka mencipta persefahaman.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 3:35 PM