TIGER WOODS
AFP

PARIS: Tiger Woods beberapa kali mencuri perhatian sepanjang tahun ini dengan kebangkitan memberangsangkan selepas beberapa tahun tenggelam susulan kecederaan dan kini kembali di landasan terbaik memburu gelaran utama ke-15, manakala juara Terbuka British, Francesco Molinari mencetus kemenangan Piala Ryder buat Eropah dengan membelasah Amerika Syarikat di Paris.

Eagle menakjubkan Justin Thomas pada lubang terakhir Kejuaraan WGC Mexico menjadi pembuka tirai musim yang menarik dan walaupun pemain berusia 25 tahun itu tewas kepada Phil Mickelson pada playoff, tiga gelaran utama menjadi milik pemain bawah usia 30 tahun dari AS.

Woods, yang meraih kemenangan pertamanya sejak 2013 pada Kejuaraan Jelajah, menamatkan musim dengan empat kekalahan berturut-turut di Piala Ryder dan tewas kepada Mickelson dalam pertembungan satu lawan satu di Las Vegas yang menawarkan hadiah AS$9 juta (RM37.6 juta).

Bagaimanapun impak dibawa Woods, juara kejohanan utama 14 kali tetap menjadi perhatian.

Pemain berusia 42 tahun itu mendahului saingan hari terakhir Terbuka British di Carnoustie dan tampil cemerlang pada Kejuaraan PGA AS sebelum menamatkan kemarau kejuaraan di East Lake.

Dalam aksi Piala Ryder di Paris, gandingan Molinari dan Tommy Fleetwood mencetus kemenangan buat Eropah.

Gandingan digelar Moliwood itu menang empat aksi berturut-turut untuk kemenangan 17.5-10.5 selepas tewas pada sesi pembukaan, sebelum Molinari melengkapkan tahun cemerlangnya dengan muncul pemain pertama Eropah dalam sejarah mencatat lima mata sempurna.

Pemain Itali itu memenangi Kejuaraan PGA BMW di Wentworth, merangkul gelaran Jelajah PGA pertama di AS dan menjadi pemain pertama dari negaranya menjuarai kejohanan utama sebelum disusuli dengan aksi menakjubkan di Perancis.

“Jika ada seseorang memberitahu saya bahawa saya akan menang di Wentworth, Jelajah PGA, Terbuka British dan lima mata Piala Ryder, saya mungkin akan ketawa terbahak-bahak,” kata Molinari selepas merangkul kejuaraan Race To Dubai Jelajah Eropah, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 9:04 AM