PEMAIN kelahiran Brazil yang dikaitkan sertai JDT adalah tidak benar. FOTO Agensi
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menafikan mahu mengikat pemain kelahiran Brazil, Isael Da Silva Barbosa untuk memperkasakan pasukan itu bagi mengharungi saingan musim depan.

Menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers, pengurus pasukan itu, Luciano Figueroa mengakui pasukannya pernah 'mengintai' pemain berusia 30 tahun itu namun mereka tidak meneruskan rundingan untuk mendapatkan khidmatnya.

"Barbosa adalah antara pemain yang pernah kami intai sebelum ini. Bagaimanapun, kami tidak ada membuat apa-apa tawaran kepadanya dan kami juga tidak akan menandatangani pemain itu musim ini.

"Kami sudah mempunyai pemain lain yang lebih sesuai dengan pasukan kami dan bola sepak Asia. Kami berada dalam perbincangan terakhir dan sedang menunggu untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum dapat mengumumkan pemain terbabit.

"Justeru, semua khabar angin termasuk ‘transfer market' yang mengatakan dia akan menyertai kami adalah tidak benar sama sekali," kata Figueroa.

Setakat ini, JDT sudah membawa masuk dua pemain import baharu sebagai persediaan untuk terus mendominasi kancah bola sepak tempatan dan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Bagi memperkukuhkan benteng susulan ketiadaan Marcos Antonio, skuad Harimau Selatan itu mendapatkan khidmat bekas pertahanan Lazio dan Spartak Moscow, Mauricio dos Santos.

Selain itu, mereka mengikat abang kepada pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez iaitu Aaron Niguez yang mampu beraksi di beberapa posisi serangan buat pasukan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 4:32 PM