EDEN HAZARD
AFP

LONDON: Eden Hazard memberi harapan kepada penyokong Chelsea dia mungkin kekal bersama kelab London itu selepas melahirkan keinginan untuk muncul sebagai legenda kelab seperti bekas rakan sepasukan Frank Lampard, John Terry dan Didier Drogba.

Hazard menjaringkan gol ke-100 dan ke-101 bersama Chelsea sekali gus membantu pasukan kendalian Maurizio Sarri kembali berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selepas mengatasi Watford 2-1, awal pagi tadi.

Namun, masih wujud keraguan mengenai masa depan bintang Belgium itu tatkala kontraknya dijadual tamat pada 2020 dan khabar angin terus bertiup kencang dia kini diintai juara Eropah, Real Madrid.

“Ia memberi banyak makna, terutamanya kerana kami meraih kemenangan hari ini,” kata Hazard.

“Gol ke-100 dan ke-101 bersama kelab menakjubkan ini sesuatu yang saya tidak akan lupakan, tapi sekarang penyokong, saya, staf, pemain, kami mahukan yang lebih lagi.

“Saya mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol untuk pasukan ini dan menjadi legenda seperti Lampard, Terry dan Drogba.”

Dua daripada tiga gol perlawanan itu disumbat pada masa kecederaan babak pertama dengan jaringan pembukaan Hazard pantas dinafikan penyudah menarik Roberto Pereyra.

Hazard dikasari penjaga gol lawan, Ben Foster pada awal babak kedua dan diberikan sepakan penalti oleh pengadil sebelum dia menyempurnakannya bagi membantu Chelsea kini mempunyai kelebihan dua mata di depan Arsenal dalam pemburuan tempat ke Liga Juara-Juara.

Meskipun berang dengan kekurangan tumpuan ketika tewas di Stamford Bridge buat kali pertama selepas mengendali Blues di tangan Leicester, Sabtu lalu, Sarri bagaimanapun menyenaraikan kesebelasan sama dengan Hazard sekali lagi menjadi nadi penggerak utama di bahagian serangan berbanding Olivier Giroud dan Alvaro Morata.

“Hazard boleh bermain dalam semua posisi,” kata Sarri.

“Hari ini dia bermain sangat baik dengan meledak dua gol dan mungkin boleh membantu dua atau tiga lagi jaringan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 8:23 AM