BEKAS jurulatih FELDA United, B Sathianathan. FOTO Sairien Nafis
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Tahap kesabaran B Sathianathan terhadap bekas pasukannya, FELDA United sudah tidak dapat dikawal lagi apabila bakal mengheret isu tunggakan gajinya ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau terlalu kecewa dengan layanan ditunjukkan pihak pengurusan kelab itu yang masih belum menjelaskan tunggakan gaji tiga bulan bermula September hingga November lalu.

Tidak cukup dengan itu, pengurusan The Fighters juga gagal melunaskan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain dan pegawai selama lima bulan.

Katanya, beliau akan menyerahkan afidavit mengenai tuntutan itu kepada Jawatankuasa Status FAM bagi mengelakkan kes terbabit terus berpanjangan selain mencari keadilan kepada pemain dan pegawai pasukan berkenaan.

"Bukan saya seorang tak dapat, semua barisan pemain FELDA United musim ini masih belum menerima gaji tiga bulan mereka termasuk saya," katanya yang kini bergelar ketua jurulatih pasukan Selangor.

"Sebelum ini saya sudah hantar surat peringatan kepada mereka tetapi sudah sebulan mereka tetap membisu dan langsung tidak menghubungi saya untuk berbincang atau menjelaskan keadaan sebenar.

"Jadi, saya bercadang untuk menyerahkan surat peringatan kedua selewat-lewatnya minggu depan, dan sekiranya mereka tidak melakukan sesuatu saya akan bawa kes ini ke FAM bagi menuntut hak saya dan pemain lain," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad The Red Giants di Stadium Mini Shah Alam, semalam.

Sathianathan yang mula membimbing FELDA United pada musim 2017 berjaya membawa skuad The Fighters kembali ke Liga Super musim depan selepas menjuarai Liga Perdana musim ini.

Bagaimanapun, menerusi langkah penjimatan pengurusan pasukan untuk menghadapi musim depan dengan pemotongan 60-70 peratus gaji pemain, hampir separuh anggota pasukan itu mula mengangkat kaki berhijrah ke pasukan lain.

"Kami sudah lakukan sebaik mungkin musim ini dan berjaya menjulang Liga Perdana sekali gus menepati sasaran pengurusan untuk ke Liga Super.

"Namun, mereka layan kami seperti 'sampah' apabila langsung tak cuba berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini," katanya.

Untuk rekod, ini bukan kes yang pertama dihadapi oleh Sathianathan apabila beliau sebelum ini 'berjuang' menuntut tunggakan gaji daripada pasukan lamanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hasilnya, tunggakan gaji 14 pemain ATM dan bekas jurulatih berjaya diselesaikan dengan Jawatankuasa Status FAM menolak geran tahunan pasukan untuk diagihkan kepada barisan pemain dan pegawai pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 3:23 PM