FELIPE ANDERSON
AFP

SOUTHAMPTON, England: Felipe Anderson meledak dua gol untuk membantu West Ham bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Southampton 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Selepas ketandusan gol pada babak pertama di St Mary’s, semua tiga jaringan perlawanan itu dihasilkan pada awal babak kedua dengan Nathan Redmond meletakkan Saints di depan pada minit ke-50 sebelum bintang Brazil, Anderson meledak dua gol buat West Ham.

Kemenangan itu menyaksikan Hammers melonjak ke tangga kesembilan carta Liga Perdana manakala Southampton yang dikendalikan pengurus baharu, Ralph Hasenhuttl, kekal di tangga ke-16 dengan hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

Kapten West Ham, Aaron Cresswell ketika diminta memberi komen mengenai Anderson berkata: “Dua gol Felipe amat mengagumkan dan kami meraih tiga mata. Dia begitu luar biasa. Dia penjaring gol terbanyak kami dan dia seorang yang cergas ketika ini.”

Sementara itu, Redmond menyimpulkan jadual perlawanan padat mungkin menjadi punca kepada kekalahan dengan berkata: “Kami tidak pasti bagaimana permainan seperti sukar untuk kami. Mungkin kerana jumlah perlawanan ketika ini. Ia mengenai rehat, pulih, bermain, rehat dan pulih.

“Mungkin kami sedikit longgar ketika memberi tekanan. Namun menangani permainan ketika kami mendahului, itu kami perlu perhalusi.”

West Ham menyenaraikan hanya enam pemain simpanan di St Mary’s, dengan pasukan kendalian Manuel Pellegrini yang diulit isu kecederaan melakukan lima perubahan daripada pasukan yang tewas 0-2 di tangan Watford, Sabtu lalu.

Hasenhuttl dalam pada itu hanya melakukan satu perubahan pemain daripada pasukan yang menewaskan Huddersfield 3-1 minggu lalu, menyaksikan Mario Lemina menggantikan pemain yang digantung, Pierre-Emile Hojbjerg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 8:24 AM