KOULIBALY digantung dua perlawanan selepas secara sarkastik bertepuk tangan terhadap pengadil. -Foto AFP
AFP

ROME: Inter Milan akan bermain dua perlawanan Serie A secara tertutup di laman sendiri selepas menerima hukuman kerana sorakan berbaur perkauman ke atas pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly.

Koulibaly diejek beberapa kali dari bangku penonton ketika Inter menang 1-0 di San Siro, awal pagi semalam dan ia memaksa Napoli memohon perlawanan dihentikan namun permintaan itu hanya sia-sia.

Inter juga perlu bermain satu lagi perlawanan dengan tempat duduk di North Stand ditutup.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh liga Itali itu, badan disiplin menyebut mengenai ‘lagu yang mempunyai unsur perkauman ke atas Kalidou Koulibaly”, tetapi juga ‘lagu yang menyinggung’ kepada penyokong Napoli.

Pertahanan tengah Senegal, Koulibaly akan menjalani hukuman gantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam permainan yang menyaksikan dia menerima kad kuning kedua selepas secara sarkastik bertepuk tangan terhadap pengadil.

Koulibaly memohon maaf di akaun Twitter susulan kekalahan itu dan diarah keluar padang dengan berkata: “Saya berbangga dengan warna kulit saya. Bangga untuk menjadi warga Perancis, rakyat Senegal dan Napoli: seorang lelaki.”

Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti mendedahkan staf kelab itu ada memohon pengadil sebanyak tiga kali untuk menghentikan permainan kerana sorakan itu.

“Ada jalan penyelesaian,” kata Ancelotti. “Anda harus memberhentikan permainan. Anda hanya perlu tahu bila, selepas beberapa kali pengumuman dilakukan. Sekiranya anda tidak tahu, maka pada masa akan datang kami mungkin perlu menghentikan permainan secara sendiri.”

Sebagai tindak balas, Inter dalam satu kenyataan menegaskan sejak 9 Mac 1908 (kelab itu ditubuhkan), Inter sentiasa menjaga integrasi, kemudahan dan kemajuan dan sebab itu kelab ‘sentiasa menyatakan tidak kepada sebarang bentuk diskriminasi.’

“Sebab itu kami berasa bertanggungjawab hari ini, sekali lagi mengulangi sesiapa saja yang tidak memahami atau menerima sejarah kami - sejarah kelab ini - bukanlah salah seorang daripada kami,” menurut kelab dari Milan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 9:36 AM