KETUA jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd. Wahid. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Rayuan yang dikemukakan pasukan Perlis untuk beraksi di Liga Perdana musim depan diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menggantikan tempat Kuantan FA yang menarik diri kerana masalah kewangan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MFL hari ini, skuad Singa Utara berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan terutamanya aspek kewangan pasukan yang dilihat kukuh untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, penyertaan anak buah Manzoor Azwira tetap bersyarat dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) wajib menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain sebelum ini.

"Selepas pertimbangan diberikan, Lembaga Pengarah MFL mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan Perlis FA ke Liga Perdana Malaysia 2019 dengan beberapa syarat.

"Pihak Perlis dimaklumkan bahawa promosi ini bersyarat bahawa pihak Perlis perlu menyelesaikan masalah tunggakan yang sedia ada. Harus diingat bahawa kepimpinan Perlis yang baru sudah mengambil alih pengurusan tanpa pengetahuan atau rekod mengenai tunggakan ini.

"Rekod ini sudah diberikan oleh pihak FAM baru-baru ini untuk perhatian kepimpinan Perlis yang baru dan dalam perjumpaan bersama semalam, Presiden Perlis (Datuk Ahmad Amizal Shaifit) sendiri memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberi komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan.

"Bagaimanapun, persetujuan bersama dicapai di mana agihan kewangan dari MFL kepada Perlis untuk musim 2019 akan ditahan oleh pihak MFL dan pihak Perlis diberi tempoh masa 60 hari untuk melangsaikan segala bayaran tertunggak.

"Jika Perlis gagal untuk melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, Perlis FA tidak akan menerima pengagihan dana dari MFL dan agihan ini akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan," kata kenyataan itu.

Sukan NSTP semalam mendedahkan, PFA ada memohon untuk bersaing dalam Liga Perdana meskipun prestasi mereka di Liga FAM musim ini amat buruk apabila sekadar menghuni tangga tercorot liga ditambah dengan isu tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.

Sementara itu, selain Perlis, Terengganu FC II (TFC II), Selangor United dan UKM FC turut melengkapkan slot 12 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

MIFA FC yang disahkan lulus dalam pelesenan kebangsaan oleh FAM akan menggantikan slot FELCRA FC yang menarik diri daripada saingan Liga Super selepas pasukan itu menghadapi masalah kewangan yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:42 PM