KETUA Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan wujudnya unsur pilih kasih selepas membuat keputusan untuk 'menaikkan pangkat' Perlis bagi menyertai saingan Liga Perdana musim depan.

Meskipun kelayakan Perlis dipersoalkan susulan masalah tunggakan gaji dan menduduki tangga tercorot dalam saingan Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) musim ini, namun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menegaskan pasukan itu menepati kriteria yang diperlukan sekali gus layak beraksi dalam divisyen dua itu.

Katanya, keputusan terbabit dibuat selepas pihaknya berpuas hati dengan kedudukan kewangan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan perancangan mereka untuk semusim selain beberapa faktor lain yang dipertimbangkan.

"Sebenarnya kami memiliki dua pasukan yang boleh dipromosi namun selepas membuat pertimbangan, kami dapati Perlis memiliki kestabilan dan kedudukan kewangan yang memberangsangkan di mana mereka boleh terus beroperasi sehingga penghujung musim 2019.

"Bukan setakat faktor kewangan malah kami mempertimbangkan aspek sama ada pasukan itu relevan untuk bertanding atau tidak. Relevan di sini bermaksud sokongan yang boleh diperoleh daripada penyokong pasukan itu.

"Kita tidak mahu pasukan yang dipromosi nanti bergelut di pertengahan musim. Memang merit sukan turut dipertimbangkan namun selepas dinilai secara keseluruhan, sememangnya Perlis paling layak kerana menepati kriteria yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, badan pengendali liga itu mengesahkan skuad Singa Utara itu akan mengisi satu lagi slot bagi saingan Liga Perdana sekali gus melengkapkan 12 pasukan untuk musim 2019.

Bagaimanapun, promosi itu bersyarat di mana PFA perlu menyelesaikan tunggakan gaji yang dihadapi mereka dalam tempoh 60 hari dan agihan kewangan mereka bagi musim hadapan ditahan terlebih dahulu.

Langkah itu adalah sebagai jaminan sekiranya mereka gagal melunaskan tunggakan terbabit dalam tempoh yang ditetapkan.

INFO

Pasukan Liga Perdana 2019

Kelantan, Negeri Sembilan, JDTII, PDRM, Sabah, UKM FC, Sarawak, UiTM FC, Pulau Pinang, Selangor United, TFCII, Perlis

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:59 PM