KOULIBALY (tengah) jadi mangsa ejekan berbaur perkauman. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyatakan aksi Serie A antara Inter Milan dan Napoli pertengahan minggu ini tidak mengikut protokol anti-diskriminasi yang ditetapkan selepas pertahanan dari Senegal, Kalidou Koulibaly sekali lagi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Pertahanan Napoli itu dijadikan sasaran hinaan oleh penyokong di San Siro, sebelum dilayangkan kad merah kerana secara sarkastik bertepuk tangan di depan pengadil Paolo Mazzoleni.

Tiga pengumuman dibuat menggunakan pembesar suara untuk penyokong menghentikan tindakan sedemikian tetapi ia tetap diteruskan.

Menurut protokol UEFA, perlawanan itu sepatutnya dihentikan.

Dalam kenyataan bersama UEFA dan persatuan pemain profesional (FifPro) menyatakan amat prihatin dengan insiden itu selain menganggap tuan rumah gagal dalam menghormati protokol anti-diskriminasi yang sudah diiktiraf secara meluas.

“Koulibaly menjadi subjek penghinaan dan walaupun pengumuman sudah dibuat, ejekan itu terus dilakukan. Malah, barisan kejurulatihan Napoli turut memaklumkan beberapa kali kepada pengadil berhubung ejekan berbaur perkauman itu.

“UEFA dan FifPro bersependapat penghinaan sebegitu terhadap Koulibaly, yang terpaksa meninggalkan padang selepas mengutip kad kuning kedua sebagai sukar diterima dan ia tiada tempat dalam bola sepak.”

Dua badan induk itu juga menyambut baik denda dua aksi Serie A Inter Milan diadakan di gelanggang tertutup dengan satu lagi perlawanan menyaksikan tempat duduk sebelah utara stadium tidak digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 10:56 AM