Ahmad Amizal bersetuju dengan peraturan. FOTO NSTP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga Perdana, Perlis akur dengan syarat dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas mereka akhirnya mendapat 'tiket' untuk beraksi dalam saingan divisyen dua itu musim hadapan.

Jelas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, beliau bersetuju dengan aturan kewangan dilakukan MFL meskipun badan pengendali itu menahan agihan kewangan yang sepatutnya diterima pasukan itu bagi musim baharu nanti.

"Persetujuan antara PFA dan MFL mengenai aturan kewangan itu sebagai langkah bijak demi kelangsungan pasukan dan sukan.

"Kami juga amat bersyukur atas keputusan MFL yang membenarkan Perlis beraksi dalam Liga Perdana dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kepercayaan kepada kepemimpinan baharu PFA," katanya.

Terdahulu, Perlis mendapat tiket ke Liga Perdana selepas skuad Singa Utara memenuhi kriteria ditetapkan terutama membabitkan aspek kewangan pasukan yang dilihat kukuh untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, mereka perlu menjelaskan tunggakan gaji yang dihadapi pasukan itu dalam tempoh 60 hari dengan agihan kewangan untuk pasukan itu akan dijadikan cagaran jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Amizal menjelaskan mereka komited untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang melanda pasukan itu meskipun ia berlaku sebelum kepemimpinan baharu dilantik.

"Kami akan berbincang dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji di bawah kepemimpinan lama PFA.

"Walaupun ini bukan masalah kepemimpinan baharu tetapi atas dasar tangggungjawab, kami sedia untuk selesaikan masalah ini dan mengharapkan ia dapat diselesaikan secara harmoni," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 3:45 PM