MUKHRIZ Mahathir. FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terus melancarkan 'perang' terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas masih tidak berpuas hati susulan perpindahan pemain berbakat besar, Akhyar Rashid.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui pihaknya tidak 'tamakkan' wang namun menegaskan segala urusan perpindahan pemain perlu dilakukan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.

"Nak bayar RM1 pun tak apa asalkan pakai saluran dan proses pertukaran yang patuh kepada peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Jangan anggap KFA yang miskin ini tiada maruah dan membantah pertukaran anak didikan kami ini kerana wang.

"Amalan 'backdoor' sangat tidak sihat untuk sukan bola sepak malaysia," katanya menerusi komen di laman sosial Instagram, hari ini.

Terdahulu, 'drama' membabitkan perpindahan pemain muda negara itu terus berpanjangan selepas KFA dilihat tetap enggan melepaskan pemain sayap lincah itu kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Meskipun skuad Harimau Selatan mengesahkan mereka sudah menandatangani pemain berusia 19 tahun itu namun KFA menegaskan Akhyar masih milik skuad Lang Merah.

Ini berikutan tiada proses penebusan kontrak oleh pemain dan pelepasan dilakukan menurut peraturan FAM, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan mereka bersedia membayar RM100,000 sebagai yuran pembangunan meskipun mereka hanya sepatutnya memberikan RM75,000 sebagai pampasan kepada KFA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:44 PM