PEMAIN City meraikan kejayaan menewasakan Soton. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Manchester City bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk menewaskan Southampton 3-1 sebentar tadi sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool kepada tujuh mata sebelum kedua-dua pasukan bertembung Khamis ini.

Skuad juara bertahan kendalian Pep Guardiola perlu kembali mendapatkan rentak selepas tumbang di tangan Crystal Palace dan Leicester, dan kebangkitan di St Mary dicetus oleh jaringan David Silva, Sergio Aguero serta jaringan sendiri James Ward-Prowse.

Charlie Austin sepatutnya mampu meletakkan Southampton di depan tetapi terlepas kawalan bola dan City sebaliknya mendahului permainan pada minit ke-10 selepas David Silva memanfaatkan hantaran Bernado Silva.

Pierre-Emille Hojbjerg kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-37 tetapi City kembali di depan selepas bola sepakan Raheem Sterling terkena Ward-Prowse pada minit ke-45. Aguero menambah jaringan tiga minit kemudian sebelum permainan berhenti rehat.

Kekalahan berkenaan meletakkan Southampton di tangga ke-17 dengan 15 mata, berkongsi mata dengan Burnley di tangga ke-18 yang menewaskan West Ham 2-0.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 12:49 AM