BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan). FOTO EPA
AFP

LISBON: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan dia ‘tidak taksub’ dengan trofi individu selepas gagal menjulang anugerah Ballon d'Or buat kali keenam, tahun ini.

Selain Ballon d'Or, penyerang Juventus itu turut terlepas anugerah Pemain Terbaik FIFA dan UEFA yang dimenangi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric.

Modric yang menjadi tonggak Croatia menamatkan Piala Dunia selaku naib juara merangkul kesemua anugerah berkenaan.

“Saya tidak taksub dengan anugerah individu,” kata Ronaldo kepada akhbar Portugal, Record. “Apa yang paling utama adalah memenangi trofi secara kolektif dan membantu pasukan. Selepas itu, ia datang dengan semula jadi.

“Saya tidak sepanjang masa berfikir untuk memecahkan rekod. Saya bekerja sepenuh hati untuk membantu pasukan dan berada di tahap terbaik saya. Secara teknikal, taktikal dan fizikal, semua pasukan lebih baik ketika ini. Semakin sukar untuk menang jadi saya perlu terus bekerja keras untuk kekal di puncak.”

Selepas terlepas permulaan kempen Liga Negara-Negara bersama Portugal bagi menyesuaikan diri dengan Juve, Ronaldo berkata pada tahun depan, dia “mungkin tidak menjadi keutamaan jurulatih kebangsaan.”

Portugal yang akan menjadi tuan rumah final Liga Negara-Negara pada Jun ini dijadual bertemu Switzerland di peringkat separuh akhir.

Dalam temu ramah itu juga, bekas pemain Manchester United itu turut berang dengan pertuduhan rogol yang dikaitkan dengan dirinya pada 2009, dakwaan serius yang sentiasa dinafikan olehnya. 

Ronaldo turut menambah “hatinya tenang” dan “yakin bahawa segala-galanya akan dijelaskan tidak lama lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 10:58 PM