AFP

LONDON: Pulangan hasil bola sepak Liga Juara-Juara dan penjualan bintang membolehkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea mencatat pendapatan £443.4 juta (RM2.33 bilion) dan keuntungan £62 juta (RM326.60 juta) bagi musim 2017-18, umum kelab itu semalam.

Pendapatan itu meningkat 22.7 peratus berbanding musim sebelumnya dengan hasil jualan pemain sebanyak £113 juta (RM595.25 juta) dan mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan pendapatan menerusi TV sebanyak £47.1 juta (RM248.11 juta).

Pendapatan komersil meningkat £32 juta (RM168.57 juta) dijana perjanjian dengan Nike yang dilaporkan bernilai £60 juta (RM316.06 juta) setahun manakala pendapatan hari perlawanan £8.4 juta (RM44.25 juta).

“Kelab kini melaporkan siri pendapatan memecah rekod dan margin keuntungan meningkat berturut-turut,” kata pengerusi, Bruce Buck dalam satu kenyataan.

“Ini berlaku kerana banyak terbabit dalam bola sepak Eropah dan pelbagai pencapaian dalam Liga Perdana, yang menunjukkan kami sudah membina perniagaan untuk menyokong usaha kami mencipta kejayaan di padang.”

Pendapatan terbaharu berakhir 30 Jun 2018 termasuk penjualan Diego Costa ke Atletico Madrid, Nemanja Matic ke Manchester United, Nathan Ake ke Bournemouth dan perpindahan tetap Juan Cuadrado ke Juventus.

Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk beberapa bayaran kepada Antonio Conte dan staf kejurulatihannya.

Conte dipecat Julai lalu selepas skuad Blues menamatkan saingan di tangga kelima dan gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 1:44 PM