KES antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) makin panas. FOTO NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Apa kesudahan pertikaian antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membabitkan isu perpindahan bintang muda Akhyar Rashid?

Persoalan timbul selepas isu itu kini semakin ‘panas’ dengan KFA dilihat serius untuk membawa kes ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam sebelum ini berpendapat perkara itu tidak perlu diheret hingga ke CAS, sebaliknya ia boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih baik menerusi pertemuan ‘empat mata’ antara badan induk itu dan KFA.

Namun, selepas itu tiada apa-apa perkembangan mengenai cadangan Stuart dan KFA dilihat cuba mengatur langkah lebih besar untuk membawa kes itu ke pengetahuan FIFA.

FAM pula dikatakan berada dalam ‘tempoh bertenang’ dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan pertikaian antara KFA dan JDT.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini juga enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan semalam pula membidas KFA selain menjelaskan skuad Helang Merah boleh meneruskan hasrat mereka untuk membawa kes itu ke FIFA atau CAS.

Malah, beliau turut mempersoalkan apakah kesilapan yang dilakukan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas FAM mengumumkan pemain itu dibenarkan menjadi ejen bebas.

Namun, melihat kepada tempoh sebulan lagi sebelum Liga Malaysia 2019 membuka tirai, wujud juga persoalan adakah Akhyar ‘lulus’ untuk beraksi bersama JDT sekiranya kes itu masih belum selesai?

Justeru, bagi mengelak sebarang masalah buat pasukan dan pemain, kes itu perlu diselesaikan sebelum liga bermula bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 6:59 PM