(Dari kiri), Norhshahrul, Akhyar dan Azrif. FOTO NSTP
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Isu pertikaian dua pasukan berebut pemain seperti yang berlaku ke atas bintang muda, Akhyar Rashid sebenarnya bukan perkara baharu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Sejak 1993, isu itu sudah timbul ketika penyerang sensasi negara pada era itu Azman Adnan mahu meninggalkan Kuala Lumpur dan menyertai Selangor dengan kontraknya masih berbaki setahun.

Pada 2013, Norshahrul Idlan Talaha juga dipalit kontroversi sama selepas dia ingin menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Kelantan hingga teraksa membabitkan campur tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Isu itu berjaya diselesaikan selepas Norshahrul atau Mat Yo diarahkan membayar pampasan tertentu untuk menebus kontrak bersama Kelantan yang berbaki kira-kira setahun.

Tiga tahun kemudian, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pula berhasrat menyertai JDT ketika dia masih mempunyai kontrak dengan Selangor.

Bagaimanapun isu itu diselesaikan secara dalaman menerusi perbincangan antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Pada hujung tahun sama, giliran seorang lagi pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri pula dipalit isu perpindahan ke JDT dengan kontraknya masih berbaki setahun dengan Red Giants.

Bagaimanapun, kes itu diselesaikan menerusi cara tebus kontrak dengan nilainya didakwa mencecah RM600,000.

Kini timbul pula isu Akhyar dengan pelbagai dakwaan dibuat termasuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menuduh JDT menggunakan pintu belakang untuk memancing pemain muda Harimau Malaya itu.

Namun, apa yang membezakan kes Akhyar dengan kes lain sebelum ini apabila KFA cuba memanjangkan isu itu hingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diputuskan FAM.

Masalahnya, kenapa isu sama masih berulang walaupun kes Azman sudah berlaku 26 tahun lalu dan adakah wujud kelemahan dalam sistem perpindahan pemain dalam Liga-M?

Sepatutnya setiap pasukan sudah belajar daripada kes terdahulu seperti menetapkan satu klausa dalam kontrak pemain mereka yang merangkumi nilai sebenar yang perlu dibayar pasukan lain jika berminat dengan pemain itu.

INFO

Senarai perpindahan kontroversi:

1993 Azman Adnan - Kuala Lumpur ke Selangor

2013 Norshahrul Idlan Talaha - Kelantan ke JDT

2015 Ferris Danial Mat Nasir - Kelantan ke FELDA United

2016 Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham - Selangor ke JDT

2016 Ahmad Hazwan Bakri - Selangor ke JDT

2018 Rodney Kelvin - Sarawak ke PKNS FC

2019 Akhyar Rashid - Kedah ke JDT

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 5:41 PM