LLORENTE (kiri) ledak hatrik bantu Spurs benam Tranmere. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Fernando Llorente meledak hatrik untuk Tottenham Hotspur ketika membantu kelabnya itu mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan Divisyen Empat, Tranmere Rovers pada pusingan ketiga Piala FA di Prenton Park, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan, Serge Aurier memecah kebuntuan lima minit sebelum berakhir babak pertama ketika Tranmere dilihat mempamer aksi cemerlang sebelum gagal meneruskan aksi konsisten itu pada babak kedua.

Llorente yang juga penyerang Sepanyol, meraih gol pertama selepas menerima hantaran daripada Son Heung Min pada minit ke-48.

Pertahanan kanan, Aurier kemudian menambah gol kedua peribadi pada minit ke-55 selepas Son sekali lagi bertindak cemerlang selaku arkitek kepada gol itu.

Son sendiri menjaringkan gol keempat menerusi gerakan solo tanpa dicabar pertahanan Tranmere pada minit ke-57.

Pemain tengah berbakat Tottenham, Oliver Skipp kemudian melorongkan bola cantik kepada Llorente yang menyempurnakannya dengan baik pada minit ke-71.

Bekas penyerang Athletic Bilbao itu melengkapkan hatrik apabila menyumbang gol keenam seminit kemudian.

Harry Kane yang masuk sebagai pemain gantian mengesahkan kemenangan Tottenham dengan gol ketujuh pada minit ke-82.

Ketika keputusan memasukkan Kane dilihat tidaklah terlalu mendesak untuk Tottenham, pengurus pasukan, Mauricio Pochettino berkata, beliau melakukan keputusan itu untuk bersikap adil kepada penyokong Tranmere yang memenuhi stadium.

“Memang kami mahu Kane beraksi antara 15 hingga 20 minit. Dia memang gemar untuk turun beraksi.

“Adalah amat penting untuk penyokong di sini menyaksikan Kane kerana dia adalah ikon untuk England dan setiap orang berpeluang melihatnya dari jarak dekat,” katanya.

Pengurus Tranmere, Micky Mellon tetap memuji barisan pemainnya yang tewas kepada lawan jauh lebih baik.

“Spurs sememangnya sangat bagus. Sudah tentu kami berasa kecewa kerana melepaskan terlalu banyak gol tetapi inilah yang berlaku apabila anda sering melakukan kesilapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:37 AM