ADRIEN RABIOT
ADRIEN RABIOT
Agensi

PARIS: Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Adrien Rabiot akan menyertai Barcelona menerusi perpindahan percuma pada musim panas ini.

Kontrak pemain berusia 23 tahun itu akan tamat pada musim panas ini dan sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian bernilai 9 juta pound (RM47.22 juta).

Dia dikatakan bakal menerima gaji dianggarkan 170,000 pound (RM892,000) seminggu selama lima tahun bersama pendahulu La Liga itu.

Rabiot sudah bersama PSG sejak 2012 dan sentiasa dijangka menjadi nadi bahagian tengah PSG untuk tahun mendatang, namun prestasinya sejak beberapa tahun ini tidak meningkat dan kini berusaha untuk meningkatkan kariernya semula di Sepanyol.

Walaupun menjadi seorang daripada pemain muda dengan prospek terbaik, dia hanya bermain enam kali bersama pasukan kebangsaan.

Barcelona juga yakin akan menandatangani pemain pertahanan berusia 19 tahun dari Toulouse, Jean-Clair Todibo menerusi perpindahan percuma pada Jun.

Manchester City dan Juventus juga berminat terhadap pertahanan tengah itu, namun Barcelona yakin pemain berkenaan akan menyertai mereka bagi menggantikan skuad yang semakin berusia.

Sementara itu PSG, berada di petak pertama untuk mendapatkan pemain tengah remaja Ajax, Frenkie de Jong, yang juga menarik minat Barcelona dan Manchester City.

Kelab Perancis itu kini dalam perbincangan terakhir dengan Ajax dan tampak akan bersetuju dengan yuran perpindahan sekitar 65 juta pound (RM341.06 juta) untuk pemain tengah berusia 21 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 1:17 PM