Ahmad. FOTO NSTP
Firdaus Hashim

 

KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal mendedahkan pasukannya tidak akan sesekali tertekan biarpun penyertaan Perlis ke Liga Perdana seakan-akan tidak direstui oleh segelintir pihak.

Sebelum ini beberapa pihak tidak puas hati dan mempertikaikan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mempromosikan Perlis ke Liga Perdana musim ini, sedangkan pasukan itu menghuni tangga tercorot Kumpulan B saingan Liga FAM musim lalu.

Sepatutnya pasukan yang mara ke separuh akhir atau yang menamatkan kedudukan lebih tinggi daripada skuad Singa Utara diberi peluang untuk bersaing di kancah divisyen kedua liga tempatan itu, dengan syarat mereka wajib melunaskan gaji bekas pemain musim lalu.

“Kita baru melakukan proses transformasi, jadi boleh dianggap sebagai pasukan baharu. Jadi, keseluruhan pemain juga dianggap sebagai pemain baharu,” kata Amizal.

“Misi kami seterusnya adalah mahu layak ke Liga Super musim depan. Tiada tekanan sebab bagi saya Perlis adalah satu pasukan yang baru bermula.

“Jadi, kita menghormati kesemua pesaing kita dalam Liga Perdana dan kita bermula daripada kosong. Perlis juga sedia buktikan bahawa kita memang layak untuk bermain di Liga Perdana.”

Menurutnya, PFA tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh MFL dan turut berjanji akan menyelesaikan semua masalah termasuk tunggakan gaji bekas pemain-pemain Perlis.

Syarat diletakkan MFL, yang mahu menyekat geran tahunan PFA sehingga persatuan itu menyelesaikan semua masalahnya, tidak mematahkan semangat pasukan memberikan persembahan positif selepas 10 musim ‘menghilang’ daripada liga utama negara.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana bagi peluang kepada Perlis untuk bermain di Liga Perdana.

“Kita sedang berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain lama. Jadi apabila MFL meletakkan syarat menahan geran tahunan (sehingga menyelesaikan tunggakan gaji) kita tidak mahu mengalah dan lari daripada masalah,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:49 PM