Aksi Morata (kanan) ketika menjaringkan gol Chelsea. FOTO Reuters/Eddie Keogh.
Agensi  

LONDON: Penyerang Sepanyol, Alvaro Morata muncul wira Chelsea apabila dua golnya membantu bekas juara itu melangkah ke pusingan keempat Piala FA Inggeris selepas mengatasi kelab divisyen dua Nottingham Forest 2-0 di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Selepas gagal memecah kebuntuan pada babak pertama, Morata yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Serie A Itali bersama AC Milan, membuka tirai jaringan pada minit ke-49 apabila dia menyudahkan hantaran silang Callum Hudson-Odoi dengan rembatan kencang dari tengah kotak penalti.

Selang 10 minit kemudian, Morata mengukuhkan kedudukan buat pasukan kendalian Maurizio Sarri dengan tandukan padu susulan satu lagi hantaran silang Hudson-Odoi.

Sementara itu, juara tujuh kali Aston Villa gagal meneruskan kemaraan apabila tunduk 0-3 di tangan Swansea dalam pertembungan dua kelab Liga Kejuaraan di Villa Park.

Turut layak Accrington yang mengejutkan Ipswich 1-0 dan Bolton Wanderers yang menang besar 5-2 ke atas Walsall.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 1:17 AM