MILOVAN RAJEVAC
MILOVAN RAJEVAC
Agensi

ABU DHABI: Thailand membuat tindakan drastik memecat ketua jurulatih, Milovan Rajevac selepas skuad bimbingannya tewas 1-4 kepada India pada saingan Piala Asia, semalam.

Selepas bermula hambar pada saingan peringkat Kumpulan A, Thailand segera melucutkan jawatan Rajevac dan mengumumkan Sirisak Yodyardthai selaku pengendali sementara.

Bekas jurulatih Ghana itu membimbing Thailand sejak 2017, sebelum menyambung kontrak sehingga 2020 pada Februari tahun lalu.

Bagaimanapun kekalahan pada separuh akhir Piala AFF yang menyaksikan mereka memenangi piala berprestij itu pada 2014 dan 2016, serta kekalahan kepada India menyebabkan beliau dipecat.

“Saya percaya ini bukan yang dimahukan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Thailand serta penyokong yang memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

“Dengan ini, saya mengumumkan pelepasan tugas Milovan Rajevac serta beberapa kakitangannya dan Sirisak Yodyardthai dilantik selaku ketua jurulatih sementara, Choketawee Promrut selaku pembantunya untuk mengharungi baki saingan Piala Asia,” kata Presiden FA Thailand, Somyot Poompanmoung.

Thailand beraksi di Piala Asia buat kali pertama sejak 2007 dan perlu bangkit semula apabila bertemu Bahrain, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 12:35 PM