BEKAS kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com


KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi membuat tuntutan tunggakan gajinya bagi musim 2015, 2016 dan 2018 terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya membuat tuntutan itu melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan harapan untuk mendapatkan haknya.   

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya menjelaskan sebelum ini Piya membuat tuntutan tunggakan gaji membabitkan musim 2016 dan 2018, namun yang terbaru pemain berusia 36 tahun itu turut mahu menuntut tunggakan gajinya bagi musim 2015.

Beliau bagaimanapun berkata PFAM tidak boleh mendedahkan jumlah keseluruhan tunggakan gaji yang dituntut Piya dalam tiga musim itu.

"Sebelum ini kita sudah kemukakan aduan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tapi disebabkan Kelantan (KAFA) nak surat melalui pos berdaftar, kita terpaksa buat semula kaedah laporan itu.

"Tapi ia tiada masalah dan kita akan kumpul semua (tuntutan dari Piya) untuk dihantar secepat mungkin kepada KAFA," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

"Berapa bulan tunggakan gaji itu kita belum boleh sahkan kerana esok baru kita akan dapat kontrak untuk 2015. Kita akan hantar semuanya sekali seperti mana diminta Kelantan supaya ia dihantar menerusi pos berdaftar."

Sukan NSTP semalam melaporkan Piya seakan sudah hilang sabar dengan KAFA selepas isu tunggakan gajinya masih belum menemui jalan penyelesaian dengan musim 2018 sahaja jumlah tunggakan itu dikatakan lebih RM150,000.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan pula dilaporkan menafikan pihaknya menganiaya Piya sepanjang bersama The Red Warriors (TRW) musim lalu dan akan menyerahkan sepenuhnya isu tuntutan tunggakan gaji pemain itu kepada FAM. 

Selain itu, Rezal turut berharap KAFA juga boleh memberi maklum balas secepat yang mungkin selepas menerima surat daripada PFAM berkaitan tuntutan Piya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:40 PM