JURGEN KLOPP
JURGEN KLOPP
AFP

WOLVERHAMPTON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, kecederaan yang menimpa pemain pertahanan, Dejan Lovren pada awal perlawanan menyebabkannya terpaksa memilih pemain simpanan ketika tewas 1-2 kepada Wolves pada saingan Piala FA, awal pagi tadi.

Klopp melakukan sembilan pertukaran berbanding ketika skuad yang tewas kali pertama di saingan Liga Perdana kepada Manchester City minggu lalu, dengan Lovren menjadi antara satu daripada dua pemain yang dikekalkan.

Bagaimanapun, bintang Croatia itu terpaksa di keluarkan kerana kecederaan hamstring, selepas hanya beraksi selama enam minit sebelum digantikan pemain berusia 16 tahun, Ki-Jana Hoever. 

“Saya difahamkan kecederaan hamstring tanpa sebarang tanda-tanda sebelum ini. Jadi dalam situasi itu anda perlu membuat keputusan.

“Saya tidak pasti apa yang anda akan katakan jika saya meletakkan Fabinho dan Ki-Jana dalam kesebelasan utama. Mungkin kemudian nanti ada beberapa orang yang bijak akan menyatakan saya tidak menghormati saingan ini,” katanya.

Gol sumbangan Raul Jimenez dan Ruben Neves masing-masing di babak pertama dan kedua memastikan tuan rumah melangkah ke pusingan keempat, meskipun Divock Origi cuba merapatkan jurang untuk Liverpool di separuh masa kedua.

Penampilan Hoever bermakna Liverpool membariskan tiga pemain remaja sepanjang perlawanan itu bersama-sama Rafael Camacho dan Curtis Jones.

Dalam aksi pagi tadi, Jimenez meraih gol pertama untuk Wolves pada minit ke-38 sebelum Origi menyamakan kedudukan pada minit ke-55. 

Tanpa rangkaian penyerang – Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, Liverpool dilihat bergelut untuk meraih momentum di barisan serangan.

Selepas pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi Origi, Neves berjaya menambah gol kedua Wolves minit ke-55, menerusi rembatan jarak jauh sekaligus mengekalkan status Wolve selaku ‘pembunuh gergasi;

Sebelum ini, Wolve pernah menundukkan Chelsea, City, Manchester United, Arsenal dalam saingan Liga Perdana. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:10 PM